Ban pecah: Gangguan air empat daerah semakin pulih

Kerja-kerja penimbunan tanah sedang dilakukan di bahagian ban yang runtuh di Sungai Santap, Pokok Sena pada Selasa.
Kerja-kerja penimbunan tanah sedang dilakukan di bahagian ban yang runtuh di Sungai Santap, Pokok Sena pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Gangguan Bekalan Air di daerah Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Yan yang berpunca dari runtuhan ban kanan Terusan Tengah di Sungai Santap, dekat sini dilaporkan semakin pulih pada petang Selasa.

Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) dalam satu kenyataan berkata, akaun pengguna yang terjejas kini hanya 38,500 berbanding 80,000 seperti dilaporkan pada Isnin.

Menurutnya, Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang kini beroperasi seperti biasa manakala LRA Jenun Lama dan LRA Jenun Baru beroperasi secara separa bermula petang Selasa.

"LRA Pokok Sena masih ditutup sepenuhnya sejak Isnin sehingga menjelang malam ini manakala aliran air Sungai Santap akan dibuka semula dan mengambil masa kira-kira enam jam bagi jarak 10 kilometer untuk sampai di LRA Pokok Sena.

"Selepas itu, barulah operasi LRA Pokok Sena dapat diaktifkan semula pada kadar 50 peratus untuk memulihkan bekalan kepada pengguna di sekitar daerah Pokok Sena," katanya.

Tambah kenyataan itu, pengguna di daerah Pendang dan Yan yang menerima air dari LRA Jenun Lama serta Jenun Baru disarankan untuk membuat persediaan awal dengan menyimpan air serta menggunakan air secara berhemah.

"Jumbo Tanker dan lori tangki Sada mula digerakkan ke kawasan yang terjejas sejak pagi tadi," ujarnya.

Sebarang aduan dan pertanyaan boleh terus menghubungi Bilik Gerakan pada talian 047408976, Pusat Operasi Wilayah Kedah Utara 04-7340522, Pusat Operasi Wilayah Kedah Utara 2 04-7870980 atau Pusat Informasi Sada 1300 88 0017.