Lelaki langgar kereta polis dipenjara 18 bulan

Shahrul Nizam dibawa ke lokap selepas Mahkamah Majistret Seri Manjung menjatuhi hukuman penjara 18 bulan atas kesalahan melakukan khianat dan menghalang tugas polis.
Shahrul Nizam dibawa ke lokap selepas Mahkamah Majistret Seri Manjung menjatuhi hukuman penjara 18 bulan atas kesalahan melakukan khianat dan menghalang tugas polis.
A
A
A

LUMUT - Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa menjatuhi hukuman 18 bulan penjara terhadap seorang pembantu kedai makan selepas mengaku salah melakukan khianat dan menghalang tugas polis, minggu lalu.

Tertuduh, Shahrul Nizam Mohammad Shuhaimi, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat melakukan khianat dengan melanggar bahagian hadapan kiri kereta pasukan polis yang menyebabkan kerugian RM1,200.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah bangunan di Seri Manjung antara jam 8.40 pagi hingga 9.40 pagi pada 4 Mei lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja tidak memberhentikan kenderaan dan bertindak agresif bertujuan menghalang pihak polis melakukan tangkapan di hadapan sebuah restoran pada waktu dan tarikh yang sama.

Bapa kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi dua kesalahan berkenaan, mahkamah menetapkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap.

Sebelum itu, di mahkamah sama, Shahrul Nizam turut didakwa mengambil dadah jenis methamphetamin melalui saringan air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung kira-kira jam 1.30 petang pada tarikh sama.

Tertuduh mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya, Inspektor Nurjihan Jaya manakala tertuduh diwakili peguam, Amani Williams Hunt Abdullah.

Media pada Rabu melaporkan polis menahan seorang lelaki didakwa bertindak melarikan isteri orang dengan sebuah kereta dalam satu aksi kejar di bandar Seri Manjung di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, suspek berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan ketika cuba melarikan diri.

Lelaki terbabit didapati memandu secara berbahaya menghala ke Seri Manjung dan enggan berhentikan kenderaan apabila diarahkan polis peronda.