Op Selamat 18: Lebih 16,000 saman dikeluarkan di Sabah

Idris Abdullah
Idris Abdullah
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 16,376 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah sepanjang 10 hari Op Selamat 18 dilaksanakan di negeri ini bermula 28 April hingga 8 Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 593 saman berbanding Op Selamat 15 yang mencatatkan sebanyak 16,969 saman dikeluarkan.

Menurutnya, kes kemalangan pula mencatatkan peningkatan tujuh peratus iaitu sebanyak 37 kes menjadikan jumlah keseluruhan 509 kes berbanding 472 pada Op Selamat sebelum ini.

"Bagi kemalangan maut pula, statistik menunjukkan penurunan sebanyak lapan kes berbanding Op Selamat 15.

"Jumlah operasi yang dilaksanakan dalam Op Selamat 18 adalah 242 operasi berbanding Op Selamat 15 dengan hanya 221 operasi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Idris berkata lagi, bagi kutipan kompaun pula, pihaknya merekodkan RM65,300 kompaun yang sudah dijelaskan.

"Bagi jumlah tangkapan pula membabitkan 30 kes Akta Pengangkutan Jalan, dua Akta Kanun Keseksaan dan satu kes Akta Pendaftaran Negara," katanya.

Tambah beliau, walaupun Op Selamat 18 sudah berakhir, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sabah akan terus mengambil pendekatan maksima berkaitan keselamatan lalu lintas.

“Ia dilancarkan menerusi penguatkuasaan dan pemantauan berterusan bagi memastikan kadar kemalangan di Sabah menurun,” katanya.