PGA rampas 8,207 karton rokok seludup

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kepong Baru pada Isnin.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kepong Baru pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merampas 8,207 karton rokok pelbagai jenama disyaki tanpa cukai dalam serbuan di sebuah rumah di Kepong Baru di sini pada Isnin.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata, dalam serbuan jam 11 pagi itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 55 tahun.

"Kita merampas sebanyak 8,207 karton rokok pelbagai jenama, sebuah telefon bimbit dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki digunakan dalam menjalankan aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,022,632.20," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Zulkifli berkata, sindiket pengedaran rokok tidak bercukai itu menyewa kediaman untuk dijadikan sebagai stor penyimpanan rokok.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.