Ibu bapa abai anak boleh dipenjara, denda sehingga RM20,000

Gambar kecil: Mohd Ridwan
Gambar kecil: Mohd Ridwan
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa yang gagal mengawasi anak atau remaja bawah umur hingga menyebabkan mereka terlibat dengan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda maksimum RM20,000.

Penyelidik di Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Ridwan Talib berkata, kegagalan atau pengabaian tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 33 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, katanya, boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya.

“Bukti atau perkara relevan yang perlu diteliti dalam kes remaja memandu tanpa pengetahuan ibu bapa ialah sama ada wujudnya keadaan yang mana mereka gagal mengawasi anak-anak di rumah.

“Ini termasuk apabila kedua-duanya tiada di rumah dan anak-anak ditanggalkan sendirian tanpa sebarang pengawasan.

“Anak-anak ini berisiko menyusup keluar dari rumah dengan menggunakan kenderaan milik ibu bapa dan memandu dalam keadaan yang merbahaya hingga menyebabkan kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, seorang pekerja pemotong rumput maut, manakala rakannya parah akibat dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu remaja berusia 16 tahun dalam kejadian di Kedah.

Sementara itu, Mohd Ridwan yang merupakan seorang peguam menjelaskan, hukuman mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 lebih sesuai berbanding Akta Pengangkutan Jalan.

Katanya, Akta Pengangkutan Jalan memfokuskan kepada tanggungjawab pengguna jalan raya yang mempunyai lesen memandu.