Op Selamat 18: 15,947 kes kemalangan maut dicatatkan

Selangor mencatatkan negeri tertinggi mencatatkan kemalangan maut dalam Op Selamat 18 membabitkan 319 kes harian dengan 3,343 kes terkumpul.
Selangor mencatatkan negeri tertinggi mencatatkan kemalangan maut dalam Op Selamat 18 membabitkan 319 kes harian dengan 3,343 kes terkumpul.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,411 kes dicatatkan pada hari terakhir Op Selamat 18 menjadikan jumlah keseluruhan kemalangan maut sebanyak 15,947 kes.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, Selangor mencatatkan negeri paling banyak mencatatkan kemalangan maut sehingga Ahad.

"Jumlah kemalangan maut harian bagi Selangor adalah sebanyak 319 kes manakala jumlah kemalangan maut terkumpul pula mencatatkan 3,343 kes.

"Statistik ini diikuti negeri Johor dengan 2,297 kes, Perak (1,582 kes), Kuala Lumpur (1,370) kes dan Pulau Pinang sebanyak 1,310 kes," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, penunggang dan pembonceng motosikal pula mencatatkan jumlah tertinggi terlibat dalam kemalangan maut dengan 108 kes.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah kes melibatkan kematian dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan pengurangan sebanyak dua peratus pada kali ini berbanding Op Selamat 15.

Menurutnya, jumlah saman keseluruhan yang dikeluarkan setakat hari ke sepuluh Op Selamat adalah 338, 296 saman melibatkan pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 252,375 saman bagi kesalahan utama dikeluarkan melibatkan 240,421 saman bagi kesalahan melebihi had laju.

"Selain itu, 4,375 saman dikeluarkan bagi kesalahan melanggar lampu isyarat, kesalahan potong Q (3,582 saman), kesalahan melibatkan alat komunikasi (1,991 saman), memotong garisan berkembar (1,202 saman) dan 804 saman membabitkan kesalahan memandu di lorong kecemasan," katanya.