Perjanjian CFA perkasa MyGovCloud

Ismail Sabri (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pengarah MAMPU Datuk Seri Dr Yusof Ismail (dua, kiri) dengan Country Manager, Malaysia Public Sector Amazon Web Services (AWS) Chuah Seng Heng (dua, kanan) pada Majlis Pertukaran Dokumen Cloud Framework Agreement (CFA) pada Isnin. Foto: Bernama
Ismail Sabri (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pengarah MAMPU Datuk Seri Dr Yusof Ismail (dua, kiri) dengan Country Manager, Malaysia Public Sector Amazon Web Services (AWS) Chuah Seng Heng (dua, kanan) pada Majlis Pertukaran Dokumen Cloud Framework Agreement (CFA) pada Isnin. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perjanjian Kontrak Berpusat Pengkomputeran Awan (CFA) yang dimeterai kerajaan dan Syarikat penyedia perkhidmatan awan (CSP) serta penyedia perkhidmatan terurus (MSP) bertujuan memperkasakan MyGovCloud.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif MyGovCloud seiring dengan Inisiatif Kelima di bawah Teras Satu Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang menyasarkan 80 peratus penggunaan storan Pengkomputeran Awan merentas sektor awam pada tahun ini.

"Inisiatif ini diyakini dapat melahirkan lebih ramai pakar pengkomputeran awan menerusi latihan berterusan dan program pensijilan yang disediakan oleh CSP dan MSP," katanya dalam kenyataan selepas menyaksikan Pertukaran Dokumen CFA, di sini pada Isnin.

Menurutnya, penglibatan CSP dan MSP itu dijangka membuka potensi pelaburan dalam negara bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2025.

"Pelaburan ini akan menjadi tulang belakang kepada pembentukan sebuah ekosistem digital yang mampan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lestari, sekali gus bakal menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau ASEAN," katanya.

Beliau berkata, kontrak CFA melibatkan empat syarikat CSP iaitu Amazon Web Services Malaysia Sdn Bhd, Google Cloud Malaysia Sdn Bhd, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Berhad.

Empat syarikat MSP pula terdiri daripada Cloud Connect Sdn Bhd, Enfrasys Solutions Sdn Bhd, Radmik Solutions Sdn Bhd dan Awantec System Sdn Bhd.

"Inisiatif ini juga dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan penjawat awam seiring dengan keperluan dan teknologi semasa," katanya.

Ismail Sabri memberitahu, melalui pelaksanaan CFA, agensi sektor awam akan dapat menikmati perkhidmatan Cloud yang lebih baik, cepat, cekap dan bersasar pada harga yang kompetitif menerusi tawaran diskaun pukal oleh CSP dan MSP.

"Secara keseluruhan, perjanjian CFA ini merupakan satu inovasi dalam perolehan perkhidmatan Cloud di semua agensi sektor awam seiring dengan pengukuhan fungsi dan peranan Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada masa hadapan.

"Melalui perjanjian ini, saya berharap lebih banyak manfaat bakal dinikmati oleh rakyat secara amnya dan seluruh agensi sektor awam khasnya, bagi merancakkan pembangunan teknologi dan ekonomi digital kepada seluruh Keluarga Malaysia," katanya.