Hanoi 2021: Tze Liang-Yi Wei pertahan emas 3m papan anjal seirama

Tze Liang-Yi Wei menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia di Sukan SEA Hanoi 2021 selepas mengungguli final acara 3m papan anjal seirama lelaki.
Tze Liang-Yi Wei menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia di Sukan SEA Hanoi 2021 selepas mengungguli final acara 3m papan anjal seirama lelaki.
A
A
A

PASANGAN negara Ooi Tze Liang-Chew Yi Wei tidak berdepan masalah menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia di Sukan SEA Hanoi 2021 selepas mengungguli final acara 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki di Pusat Akuatik My Dinh pada Ahad.

Kejayaan itu menyaksikan Yi Wei-Tze Liang berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2019 di Filipina.

Pada saingan hari ini, gandingan negara berjaya mengumpul 395.79 mata dalam enam terjunan untuk mengatasi pasangan tuan rumah, Nguyen Tung Duong-Phuong The Anh yang terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mengutip 305.64 mata.

Tiada pemenang pingat gangsa apabila hanya dua negara bertanding dalam acara itu.

Pingat emas dimenangi Yi Wei-Tze Liang adalah emas kedua Malaysia pada temasya sukan dwitahunan itu berikutan kejayaan penerjun Nur Dhabitah Sabri merangkul emas acara 1m papan anjal individu wanita pada satu lagi final sebelum itu.

Esok, Tze Liang akan meneruskan cabaran kem terjun negara apabila bakal turun beraksi dalam acara 1m papan anjal individu lelaki di venue sama.

Edisi Hanoi 2021 dijadual bermula dari 12 hingga 23 Mei ini dengan beberapa jenis sukan antaranya bola sepak dan terjun memulakan saingan lebih awal. - Bernama