Piala Uber: Badi Malaysia bertemu Valkyries berterusan

Aksi pemain badminton negara, S Kisona ketika menentang pemain dari Denmark, Mia Blichfeldt pada kejohanan Piala Uber di Stadium Impact Arena Bangkok. - Foto Bernama
Aksi pemain badminton negara, S Kisona ketika menentang pemain dari Denmark, Mia Blichfeldt pada kejohanan Piala Uber di Stadium Impact Arena Bangkok. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] MALAYSIA mungkin terlepas peluang mara ke suku akhir selepas tewas lagi kepada Denmark 2-3 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C Final Piala Uber 2022 di sini pada Ahad.

Skuad Valkyries mendahului selepas pemain perseorangan utama mereka Mia Blichfeldt mengambil masa 35 minit untuk mengatasi wakil perseorangan wanita negara S Kisona 21-14 dan 21-15 di Impact Arena, di sini.

Set pertama menyaksikan kedua-dua pemain saling mengejar mata sehingga Blitchfeld mendahului 11-10.

Selepas itu pemain Denmark berkenaan menguasai permainan sehingga memenangi set pertama sebelum meneruskan momentum kemenangan di set kedua dan menyumbang mata pertama kepada negaranya.

Bagaimanapun, Malaysia tidak gusar apabila beregu nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah menang tipis ke atas Maiken Fruergaard-Sara Thygesen untuk menyamakan kedudukan mata 1-1.

Selepas ketinggalan 8-12 dalam set pertama, beregu Malaysia yang berada di ranking ke-11 dunia dengan tenang mengejar gandingan Denmark itu dan menang dengan keputusan 21-19 sebelum memenangi set kedua dengan keputusan sama 21-19.

Kemenangan Pearly-Thinaah menaikkan semangat kem badminton negara dan memberi inspirasi kepada wakil perseorangan kedua negara, bekas Juara Dunia Remaja Goh Jin Wei untuk membantu Malaysia mendahului Denmark 2-1.

Jin Wei bermula dengan baik untuk menewaskan Line Christophersen 21-12 tetapi beberapa siri kesilapan membawa padah kepada pemain badminton profesional Malaysia itu apabila beliau tewas 11-21 dalam set kedua.

Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun dari Pulau Pinang itu menemui rentaknya kembali dalam set penentuan dan berjaya menundukkan Naib Juara Kejohanan Eropah 2021 itu 21-5.

Menyedari Malaysia hanya memerlukan satu lagi mata untuk memenangi format lima terbaik, beregu kedua Denmark terdiri daripada Alexandre Boje-Amalie Magelund beraksi bermatian-matian untuk mengatasi Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing, 21-14, 21-10. Kini Malaysia seri 2-2 dengan Denmark.

Sehubungan itu nasib Malaysia terletak di bahu pemain kurang berpengalaman, Myisha Mohd Khairul untuk memperoleh mata kemenangan tetapi beliau yang baharu dimahkotakan sebagai pemenang Siri Antarabangsa Belanda bukanlah lawan Line Kjaersfeldt yang menang dengan 21-12, 21-9 dalam masa 33 minit.

Kemenangan hari ini menyaksikan Denmark meneruskan rekod tanpa kalah dengan Malaysia dalam enam perlawanan di kejohanan badminton berpasukan yang paling berprestij di dunia sejak kedua-dua pasukan bertemu dalam edisi 2000 di Kuala Lumpur.

Malaysia memerlukan keajaiban untuk menewaskan pasukan pillihan utama, Thailand dalam perlawanan kedua kumpulan esok untuk melangkah ke suku akhir selepas pasukan tuan rumah menumpaskan Mesir 5-0, pada Ahad.