Melaka mampu jadi pusat judo bertaraf dunia

V P Shanmugam.Foto: Bernama
V P Shanmugam.Foto: Bernama
A
A
A

MELAKA - Melaka berpotensi menjadi pusat melahirkan jurulatih seni bela diri bertaraf antarabangsa terutama dalam sukan judo.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri V P Shanmugam berkata, ia bukan sesuatu yang sukar direalisasikan kerana beberapa pakar sukan bela diri itu kini sudah 'bertapak' di Melaka.

"Kita bukan saja mahu bangunkan atlet tetapi juga jurulatih kerana kedua-duanya ini memerlukan antara satu sama lain. Dengan kehadiran jurulatih judo bertaraf dunia seperti Lee Khim Seng, kita yakin akan lebih ramai jurulatih berminat untuk datang ke sini dan melatih atlet yang berpotensi besar yang ada di Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Latihan Persatuan Judo Negeri Melaka di sini pada Ahad.

Dalam sesi lawatan itu, Shanmugam bersama wakil daripada Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) turut menyampaikan sagu hati serta kelengkapan sukan tersebut kepada atlet judo negara Ong Kun Xiong dan Tan Woon Kiat yang mewakili Malaysia di Sukan SEA ke-31 di Vietnam.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, kerajaan negeri akan membantu menyediakan fasiliti dan kemudahan latihan yang lebih kondusif bagi memastikan perancangan melahirkan lebih ramai jurulatih bertaraf dunia itu berhasil.

"Kita akui masih ada kekurangan tetapi persiapan fasiliti itu sentiasa dilakukan dari masa ke masa dalam usaha menyediakan tempat yang sempurna buat mereka dalam bidang sukan ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan ini juga akan merancakkan lagi pelancongan sukan di Melaka.

"Ia akan menarik bukan sahaja atlet dan jurulatih sukan bela diri tetapi turut menjadi platform kepada menghasilkan lebih ramai pelapis bertaraf dunia dalam pelbagai sukan," katanya. - Bernama