Lelaki dicekup selepas tiga jam curi kenderaan

Perkongsian di Facebook yang mendakwa berlaku kejadian samun pada Sabtu.
Perkongsian di Facebook yang mendakwa berlaku kejadian samun pada Sabtu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Tindakan seorang lelaki mencuri sebuah kenderaan pacuan empat roda di sini menerima padah apabila dia ditahan hanya kira-kira tiga jam selepas melakukan jenayah itu pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, suspek berusia 40-an itu diberkas dalam satu sekatan jalan raya di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di sini, kira-kira jam 10.35 malam.

Bagaimanapun, Hussin menafikan berlaku jenayah samun seperti yang didakwa netizen melalui gambar dan maklumat yang tular di Facebook.

Melalui hantaran itu, dimaklumkan satu kejadian samun membabitkan Toyota Hilux turut dilarikan seorang lelaki di Batu 6, berhampiran kawasan rehat dan rawat (RNR) Dusun Panti di sini.

"Ini bukan kejadian samun seperti yang tular di media sosial tetapi hanya curi kenderaan dan kita juga merampas semula kereta pengadu dalam satu sekatan jalan raya itu.

"Suspek kemudiannya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Hussin berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak mencuri kenderaan itu hanya dalam kedudukan 20 meter daripada jarak pemiliknya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan denda,” katanya.