Warga emas harap ada keajaiban isterinya kembali sembuh

Abdul Razak (dua dari kiri) mengharapkan keajaiban isteri kembali sembuh masa terdekat.
Abdul Razak (dua dari kiri) mengharapkan keajaiban isteri kembali sembuh masa terdekat.
A
A
A

SEREMBAN - "Setiap hari saya berdoa, bisik ditelinganya supaya kuat melawan penyakitnya dan segera sembuh agar dapat menjalani kehidupan seperti sebelum ini," kata Abdul Razak Saleh, 73.

Warga emas itu kini menjaga isterinya, Normala Abd Razak, 50, yang terlantar sejak sebulan lalu selepas diserang angin ahmar pada awal April lepas yang menyebabkan seluruh anggota badannya tidak boleh digerakkan.

Jelas Abdul Razak, terlalu berat dugaan baginya berikutan dia juga baharu pulih daripada serangan angin ahmar tiga bulan lalu yang mengakibatkan tangan kanannya lemah dan tidak sekuat sebelumnya.

"Keadaan itu menyebabkan saya tidak mampu untuk menguruskan isteri seorang diri tambahan pula kami tidak mempunyai anak. Bagaimanapun saya bersyukur apabila rakan saya sanggup membantu menguruskan isteri sejak keluar hospital.

"Isteri pula ketika ini hanya bergantung kepada susu khas selain perlu dipakaikan lampin pakai buang," katanya.

Abd Razak berkata, dia berharap ada keajaiban untuk isterinya kembali sembuh dalam masa terdekat seterusnya menikmati usia tuanya bersama selain tidak mahu memikirkan hal-hal dunia.

" Justeru, saya memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan isteri saya segera sembuh dan sebolehnya tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak walaupun terpaksa melaluinya ketika ini.

"Terima kasih kepada semua pihak yang sudah menghulurkan sumbangan dan bantuan, tidak ternilai rasanya," ujarnya.

Ketika ini, perbelanjaan Abd Razak termasuk susu khas isterinya menggunakan sepenuhnya wang pencennya sebanyak RM350 dan Elaun Layanan Sentiasa Perkeso berjumlah RM500 sebulan yang diterima isterinya selain sumbangan pihak yang bersimpati dengan nasib dialaminya.

"Kami terima bantuan lampin pakai buang daripada Perkeso dan saya baharu sahaja membuat permohonan bantuan daripada Baitulmal Negeri Sembilan," katanya yang menyewa di Taman Gadong Jaya di sini sejak lebih 10 tahun lalu.

Nasib Abd Razak turut mendapat perhatian Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perkasih N9 yang melakukan gotong-royong pembersihan kediamannya selain menyumbangkan katil boleh laras untuk kegunaan isterinya.