Kes tular doktor pelatih cuba bunuh diri berlaku pada 2019

Dr Zaini (tiga dari kiri) mencuba alat mengesan penyakit asma ketika merasmikan Sambutan Hari Asma Sedunia 2022 dan Pelancaran Klinik Adma Teruk di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada Ahad.
Dr Zaini (tiga dari kiri) mencuba alat mengesan penyakit asma ketika merasmikan Sambutan Hari Asma Sedunia 2022 dan Pelancaran Klinik Adma Teruk di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan kes yang tular di media sosial membabitkan seorang doktor pelatih cuba membunuh diri di sebuah hospital di negeri ini berlaku pada tahun 2019.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kes berkenaan bagaimanapun sudah selesai dan ditutup kerana dakwaan penderaan emosi yang dikatakan itu tidak dapat dibuktikan dengan jelas.

Menurutnya, perkara tersebut tular semula secara dalam talian sejak Sabtu dan pihak JKNK menerima maklumat serta sedia maklum berhubung perkara itu.

“Ada beberapa kes yang disiasat pada tahun 2019 tetapi setakat ini tidak ada isu dan tidak dapat dibuktikan dengan jelas.

“Dalam status yang tular di media sosial itu juga tidak menyatakan siapa yang menulis menyebabkan agak sukar untuk mengenal pasti kes dan doktor siswazah yang terbabit tetapi boleh disahkan kes berlaku sudah lama iaitu pada tahun 2019,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perasmian Sambutan Hari Asma Sedunia 2022 dan Pelancaran Klinik Adma Teruk di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada Ahad.

Sebelum itu, tular sejak Sabtu satu pendedahan oleh seorang doktor pelatih yang mendakwa dibuli secara emosi selepas dua minggu ditempatkan di Jabatan Pembedahan di sebuah hospital kerajaan di Pantai Timur.

Menurutnya, JKNK mengambil serius sekiranya ada laporan berkaitan kes-kes seumpamanya dan melakukan penyiasatan bagi memastikan pelapor mendapat pembelaan yang sepatutnya sekiranya dakwaan tersebut benar-benar berlaku.

“Pada peringkat hospital pula, perjumpaan dengan doktor pelatih sentiasa diadakan sebulan hingga tiga bulan sekali untuk mendengar masalah mereka.

“Kami di jabatan kesihatan dan jabatan-jabatan yang melatih ingin membantu mereka dengan memberikan sokongan bagi memastikan mereka menjadi pegawai perubatan yang terbaik sekali gus sebagai pelapis pakar-pakar di negara ini,” katanya.

Tambahnya, JKNK juga mempunyai unit-unit kaunseling yang membolehkan doktor pelatih datang untuk mendapatkan bantuan sekiranya mereka mempunyai masalah.

Dalam perkembangan lain berkaitan kes Covid-19, Dr Zaini berkata, setakat ini Kelantan merekodkan penurunan kes sekitar dua digit sahaja selain jangkitan yang teruk dan kemasukan ke hospital serta Unit Rawatan Rapi (ICU) turut berkurangan.

“Kami bersedia dengan kemungkinan selepas raya ini akan berlaku sedikit peningkatan tetapi mungkin jangkitan pada tahap satu dan dua sahaja.

“Kami masih mengekalkan lebih 300 katil di wad biasa dan lebih 30 katil di ICU untuk merawat pesakit Covid-19,” jelasnya.