Remaja lelaki ditemukan terapung

Mayat remaja lelaki ditemukan terapung pada Sabtu kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa lemas. - Foto ihsan JBPM
Mayat remaja lelaki ditemukan terapung pada Sabtu kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa lemas. - Foto ihsan JBPM
A
A
A

KUANTAN - Remaja lelaki ditemukan lemas pada Sabtu selepas dibawa arus deras di Pasir Puteri Sungai Lembing di sini pada Jumaat.

Mayat mangsa, Amirun Mohamad, 14, dari Taman Seri Perasing, Jabor Terengganu ditemukan terapung kira-kira jam 6.10 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan Lubuk Cina iaitu kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa lemas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai penemuan mangsa.

"Jenazah mangsa akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, mangsa dihanyutkan arus deras ketika sedang mandi bersama abang dan sepupu-sepupunya selepas datang berkelah di lokasi tersebut bersama keluarga mereka.

Mangsa bersama keluarga tiba di kawasan tersebut untuk berkelah kira-kira jam 2.14 petang dan kira-kira seminit kemudian, mangsa bersama abang dan dua sepupunya telah turun ke sungai lebih kurang 100 meter dari khemah yang didirikan di tapak tersebut.

Semasa sedang mandi, tiba-tiba mangsa bersama abang dan sepupunya telah dihanyutkan arus deras ke kawasan yang lebih dalam.

Abang mangsa, Mohamad Azri, 17, serta sepupu mangsa, Amaluddin Ismail,13, dan Mohamad Khalid Yusof,16, berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Namun Amirun dihanyutkan arus deras ke bahagian hilir dan gagal diselamatkan serta usaha ahli keluarga dengan bantuan orang ramai di lokasi kejadian juga gagal menemui mangsa.