Berehat jika penat, mengantuk: Ismail Sabri

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai ke arah orang ramai pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera 2022 di Laman Kerayong, hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai ke arah orang ramai pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera 2022 di Laman Kerayong, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BERA- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai supaya berehat jika penat atau mengantuk ketika memandu pulang ke destinasi masing-masing selepas bercuti pulang ke kampung sempena sambutan Aidilfitri.

"Saya harap jika penat berhenti dulu, tidur sekejap bagi hilang mengantuk kemudian teruskan perjalanan.

"Jangan paksa diri untuk cepat sampai, elak perkara tidak diingini terjadi," katanya kepada pemberita sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong di sini pada Sabtu.

Ujarnya, beliau percaya pada Sabtu dan Ahad ramai akan pulang ke rumah masing ke ibu kota dan di mana-mana saja berikutan memulakan tugas pada Isnin nanti.

"Bagi saya, kita perlu disiplinkan diri ketika memandu kereta, selain sesak harap pemandu berhati-hati, jaga keluarga sendiri dan keluarga di kampung," ujarnya lagi.

Mengulas mengenai kesesakan dan kes kemalangan yang berlaku setiap kali musim perayaan, Ismail Sabri berkata, masalah tersebut perlu diatasi demi keselamatan pengguna jalan raya.

"Untuk masa depan saya percaya Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) pasti ada perancangan jangka panjang.

"Tapi tanggungjawab jaga keselamatan diri terletak kepada kita juga, saya harapkan semua ambil peranan," jelasnya.