Sayu lihat kubur ahli keluarga terbelah, mendap

Rekahan tanah di Tanah Perkuburan Islam MBPJ Kampung Tunku, di sini yang menjejaskan kubur di sini. Gambar kecil dari kiri: Wahab, Tengku Shamsul
Rekahan tanah di Tanah Perkuburan Islam MBPJ Kampung Tunku, di sini yang menjejaskan kubur di sini. Gambar kecil dari kiri: Wahab, Tengku Shamsul
A
A
A

PETALING JAYA - Sayu dan sedih menyelubungi waris yang melawat kubur ahli keluarga mereka di Tanah Perkuburan Islam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kampung Tunku, di sini kerana dilihat mendap dan terbelah akibat hakisan tanah.

Tinjauan Sinar Harian pada Jumaat mendapati lebih 10 kubur rosak, beberapa kubur terbelah malah ada sebahagian batu nisannya jatuh dalam rekahan tanah didakwa terjadi kerana hujan lebat.

Pengadu, Profesor Emeritus Datuk Tengku Shamsul Bahrin, 83, menyedari hakisan tanah tersebut berlaku sejak tiga tahun lalu ketika beliau melawat kubur ahli keluarganya.

Tengku Shamsul kemudian membuat aduan kepada MBPJ pada 12 April lalu berkaitan kerosakan berkenaan namun mendakwa masih belum mendapat sebarang respon.

"Tanah perkuburan ini bertingkat dan banyak tebing mengalami hakisan apabila hujan lebat.

"Saya rasa isu ini perlu dibawa kepada pengetahuan am untuk melihat sama ada masyarakat di sini mengambil peduli tentang perkara ini kerana jika tidak dijaga, mungkin ia akan musnah dalam tempoh terdekat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Wahab Md Nor, 71, mengakui sedih melihat keadaan di sekitar kubur arwah anaknya yang rosak selepas dua tahun tidak menziarahi kawasan tersebut akibat pandemik Covid-19.

Wahab turut mencadangkan supaya dinding di sekeliling tanah perkuburan itu ditambak bagi menghalang hakisan tanah menjadi semakin serius.

"Saya rasa sedih (bila menziarahi tanah perkuburan ini) kerana ia sudah tidak cantik. Sepatutnya pihak berwajib menambaknya sebelum runtuh dan menyebabkan semua kubur rosak," katanya.

Turut senada dengan Wahab ialah Norlan Mohamed Tahir, 47, yang melihat sendiri beberapa kepok kubur di sini yang mulai rosak dan mendap.

Antara sisa kepok kubur yang didakwa rosak akibat hakisan tanah di Tanah Perkuburan Islam MBPJ Kampung Tunku di sini. Gambar kecil: Norlan
Antara sisa kepok kubur yang didakwa rosak akibat hakisan tanah di Tanah Perkuburan Islam MBPJ Kampung Tunku di sini. Gambar kecil: Norlan

Norlan juga mahu pihak bertanggungjawab memantau kawasan terbabit terutama selepas hujan dan penjagaan lebih rapi di situ.

"Saya sedih apabila melihat batu nisan didakwa kubur kanak-kanak di belakang kubur bapa saudara saya mula mendap, mungkin sebab hujan. Ada juga kepok kubur di sini mula tenggelam sekitar 6 inci ke dalam tanah," katanya.

Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berwajib yang terlibat dalam penyelenggaraan tanah perkuburan Islam itu.

Keadaan pagar konkrit di sekeliling Tanah Perkuburan Islam MBPJ Kampung Tunku yang runtuh.
Keadaan pagar konkrit di sekeliling Tanah Perkuburan Islam MBPJ Kampung Tunku yang runtuh.