Ops Selamat: Polis Kelantan keluarkan 5,902 saman

Muhamad Zaki (tengah) semasa sidang media turun padang melakukan tinjauan di Kompleks ICQS, Rantau Panjang sempena pembukaan sempadan darat Malaysia-Thailand pada Khamis.
Muhamad Zaki (tengah) semasa sidang media turun padang melakukan tinjauan di Kompleks ICQS, Rantau Panjang sempena pembukaan sempadan darat Malaysia-Thailand pada Khamis.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Polis Kelantan telah mengeluarkan 5,902 saman berkait kesalahan jalan raya sepanjang Ops Selamat 18 di seluruh negeri ini bermula 27 April lalu sehingga Khamis.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesalahan melibatkan had laju paling tinggi direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

"Gagal mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu antara lain-lain kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya," katanya kepada pemberita semasa turun padang melakukan tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang sempena pembukaan sempadan darat Malaysia-Thailand di sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisoner Mohd Nasaruddin M Nasir.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 13 kes membabitkan kemalangan maut telah direkodkan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 14 kematian telah dicatatkan.

Muhamad Zaki berkata, daripada jumlah tersebut lima pemandu kenderaan, lapan penunggang motosikal dan seorang pembonceng.

"Berdasarkan laporan, kebanyakan kemalangan berlaku kerana terbabas akibat mengantuk dan keletihan," katanya.