Kes denggi di Malaysia meningkat

Penyakit denggi adalah penyakit jangkitan virus yang disebar melalui gigitan nyamuk Aedes yang telah dijangkiti. Gambar kecil: Dr Noor Hisham
Penyakit denggi adalah penyakit jangkitan virus yang disebar melalui gigitan nyamuk Aedes yang telah dijangkiti. Gambar kecil: Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 1,021 kes denggi pada Minggu Epid 17/2022 dengan peningkatan sebanyak 54 atau 5.6 peratus berbanding 967 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes denggi direkodkan sehingga kini adalah 12,942 kes berbanding 9,270 kes bagi tempoh sama pada tahun 2021 iaitu meningkat sebanyak 3,672 kes (39.6 peratus).

Menurutnya, jumlah kumulatif kematian denggi pada minggu yang sama adalah sebanyak tujuh kematian melibatkan peningkatan dua kematian (40 peratus) berbanding lima kematian bagi tempoh sama pada tahun 2021.

“Penyakit denggi adalah penyakit jangkitan virus yang disebar melalui gigitan nyamuk Aedes yang telah dijangkiti.

“Pesakit boleh mengalami gejala seperti demam, ruam merah di kulit, sakit kepala, sakit pada bahagian belakang mata, sakit sendi, sakit otot, pendarahan di bawah kulit, hidung dan gusi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru, orang ramai perlu memastikan kediaman masing-masing bebas dari tempat pembiakan nyamuk dengan pembersihan atau pelupusan bekas yang boleh menakung air.

“Pastikan juga saliran atap sentiasa mengalir, tangki air dan bekas tadahan air sentiasa ditutup atau ditaburkan racun atau bahan pembunuh jentik-jentik dan gunakan bahan repelan untuk mencegah gigitan nyamuk Aedes apabila berada di luar rumah,” katanya.

Jelas beliau, pesakit yang mengalami demam yang berterusan perlu melakukan kiraan darah penuh (full blood count) pada hari ketiga.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya pesakit disyaki menghidapi demam denggi berdasarkan ciri klinikal dan ujian darah, pesakit perlu diberikan 'dengue alert card' dan melakukan 'dengue combo test',” jelasnya.