Tular pandu berbahaya, pemandu ditahan polis

Tangkap layar video tular sebuah kereta memandu secara berbahaya memotong barisan di garisan berkembar di Kilometer 17, Jalan Beruas-Parit-Ipoh dekat pekan Parit pada Rabu.
Tangkap layar video tular sebuah kereta memandu secara berbahaya memotong barisan di garisan berkembar di Kilometer 17, Jalan Beruas-Parit-Ipoh dekat pekan Parit pada Rabu.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Pemandu kereta yang tular memandu secara berbahaya dengan memotong barisan di garisan berkembar di Kilometer 17, Jalan Beruas-Parit-Ipoh dekat pekan Parit pada Rabu, sudah ditahan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, rakaman video itu dikesan sekitar jam 9.35 malam memaparkan sebuah kereta Proton Saga FLX dipandu secara melulu hingga boleh mendatangkan bahaya kepada pemandu dan pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, berdasarkan rakaman berdurasi 51 saat itu juga, kenderaan berkenaan dilihat memotong barisan di garisan berkembar.

"Bertindak atas maklumat itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak telah berjaya mengesan pemandu kereta yang beralamat di Pusing, Batu Gajah.

"Semasa tangkapan dilakukan, lelaki terbabit mengaku memandu kenderaan tersebut pada jam 3.40 petang semalam (Rabu) seperti mana rakaman tular," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, lelaki terbabit telah ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk tindakan lanjut.

"Polis Perak melalui JSPT akan terus meningkatkan operasi bagi membanteras sepenuhnya isu samseng jalanan dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.