Debat Saifuddin-Rafizi diadakan 11 Mei ini

Program Berani Semuka antara Rafizi (kiri) dan Saifuddin akan disiarkan di semua platform Sinar Harian secara langsung jam 3 petang pada 11 Mei ini.
Program Berani Semuka antara Rafizi (kiri) dan Saifuddin akan disiarkan di semua platform Sinar Harian secara langsung jam 3 petang pada 11 Mei ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Para peminat politik tanah air dan pengikut Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berpeluang mengikuti debat secara langsung antara dua calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli pada 11 Mei ini dari Studio F, Sinar Harian jam 3 petang.

Ketua Pengarang Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian, Rozaid Rahman dalam satu kenyataan berkata, program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ itu akan berlangsung selama satu jam 30 minit dan dihoskan oleh Amin Idris.


Rozaid
Rozaid

Ia akan disiarkan di semua platform Sinar Harian secara langsung.

Kata Rozaid, ‘perdebatan’ antara dua pemimpin masa depan PKR ini bertepatan dengan masanya memandangkan pemilihan jawatan PKR pada tahun ini akan dilihat sebagai petunjuk kepada siapakah yang bakal mengambil alih pucuk pimpinan parti itu daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar telah pun memenangi jawatan presiden tanpa bertanding. Ini sekali gus menyebabkan perebutan kerusi timbalan presiden menjadi tumpuan ramai khususnya dalam kalangan ahli-ahli PKR itu sendiri.

Menurut Rozaid, debat ini juga menjadi medan atau pentas untuk menguji kredibiliti kedua-dua calon berkenaan dalam mengemukakan hujah berkenaan isu semasa dan juga soal kepimpinan dan masa depan PKR.

Format ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ ini akan dimulakan dengan sesi pengenalan kedua-dua belah pihak dan kemudiannya diikuti dengan soalan sesama mereka serta daripada moderator.

Program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ itu akan berlangsung selama satu jam 30 minit dan dihoskan oleh Amin Idris.
Program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ itu akan berlangsung selama satu jam 30 minit dan dihoskan oleh Amin Idris.

Program ini pernah menampilkan pertembungan idea tokoh-tokoh hebat tanah air termasuklah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof dan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang berdebat mengenai isu dakwaan penyelewengan aset Tabung Haji pada 14 Ogos 2020.

Selain itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga pernah berdebat dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim berhubung pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 pada 13 Januari lalu.

Program Berani Semuka menggunakan format diskusi ala pemilihan presiden Amerika Syarikat namun disesuaikan dengan cara masyarakat Malaysia.