Op Selamat 18: Lebih 4,000 saman dikeluarkan polis Melaka

Polis Melaka mengeluarkan 4,477 saman dalam tempoh lima hari pelaksanaan Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri sejak 29 April lepas. - Gambar hiasan
Polis Melaka mengeluarkan 4,477 saman dalam tempoh lima hari pelaksanaan Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri sejak 29 April lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka mengeluarkan 4,477 saman dalam tempoh lima hari pelaksanaan Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri sejak 29 April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran @ Mohamad Zaki Omar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,496 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang diletakkan pada kenderaan tanpa kehadiran pemandu atau tanpa ditahan polis.

Beliau berkata, sebanyak 981 saman dikeluarkan secara bersemuka kepada pesalah trafik sebaik sahaja mereka dikesan melanggar kesalahan lalu lintas.

"Melaka Tengah mencatatkan pengeluaran saman tertinggi iaitu sebanyak 3,691 saman diikuti Jasin (687 saman) dan Alor Gajah (98 saman).

"Selain itu, sebanyak 340 kes kemalangan jalan raya dicatatkan dalam tempoh lima hari berkenaan berbanding 291 kes kemalangan dalam tempoh sama pada Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan aliran trafik di Tol Ayer Keroh di sini pada Rabu.

Beliau berkata, dalam tempoh sama tahun ini, sebanyak dua kemalangan maut direkodkan berbanding tiga kemalangan maut pada Op Selamat terdahulu.

Katanya, kes kemalangan maut berkenaan melibatkan penunggang motosikal yang merupakan golongan berisiko tinggi terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Amran berkata, polis Melaka akan meneruskan pendekatan secara penguatkuasaan menyeluruh dan penyuraian trafik di 12 jalan yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan jalan raya di negeri berkenaan.

Beliau berkata, jalan berkenaan melibatkan lima lokasi di Melaka Tengah, Alor Gajah (empat lokasi) dan Jasin (tiga lokasi).

"Polis Melaka juga menumpukan kepada Op Lancar atau penyuraian aliran trafik bagi tujuan melancarkan pergerakan kenderaan yang memasuki Melaka.

"Dalam tempoh lima hari ini juga, sebanyak 263,977 kenderaan direkodkan masuk ke Melaka menerusi tiga pintu masuk tol dan jalan alternatif di negeri ini," katanya. - Bernama