Klopp puji kebangkitan pemain Liverpool

Pemain Liverpool meraikan kejayaan mara ke pentas akhir saingan UCL selepas menewaskan Villarreal 3-2 di Estadio de la Ceramica awal pagi tadi.
Pemain Liverpool meraikan kejayaan mara ke pentas akhir saingan UCL selepas menewaskan Villarreal 3-2 di Estadio de la Ceramica awal pagi tadi.
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan kejayaan pasukannya mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim ini paling bermakna selepas menewaskan Villarreal di Estadio de la Ceramica 3-2 awal pagi tadi.

Menurut Klopp, kegembiraan membawa Liverpool ke pentas final itu seolah dia berjaya membawa The Red ke pentas akhir buat kali pertama meskipun pernah berbuat demikian sebanyak tiga kali sebelum ini.

"Kejayaan ini umpama seperti saya membawa Liverpool ke pentas final pertama mereka dan ia sangat istimewa buat kami di sini.

"Kredit perlu diberikan kepada Villarreal. Stadium yang hebat dan mereka berjaya melakukan satu perkara yang menakjubkan pada perlawanan ini.

"Sebelum perlawanan saya katakan yang saya tidak mahu kami mempertahankan keputusan yang diraih sebelum ini, tetapi perlu mencari kemenangan, dan ia berlaku di babak kedua," katanya.

Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Unai Emery yang ketinggalan 2-0 pada separuh akhir pertama, berjaya mencetus kebangkitan luar biasa pada aksi timbal balik kedua hasil jaringan minit ketiga Boulaye Dia dan tandukan Francis Coquelin untuk menjadikan agregat 2-2.

Bagaimanapun, percaturan Klopp memasukkan Luis Diaz menggantikan Diogo Jota ketika rehat nyata membuahkan hasil apabila Liverpool meledak tiga kali dalam tempoh 12 minit menerusi Fabinho, Diaz dan Sadio Mane untuk kemenangan 3-2 dan 5-2 secara agregat.

Menanti Liverpool di perlawanan akhir ialah pemenang di antara Real Madrid dan Manchester City, yang akan bertemu di Santiago Bernabeu awal pagi esok dengan City mendahului 4-3.

Artikel Berkaitan: