Bersederhana dalam segala urusan: Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengingatkan orang ramai supaya bersederhana dalam segala urusan dan sentiasa mendapatkan nilai terbaik dalam setiap usaha.

Ujar beliau, masyarakat telah melalui tempoh dua tahun yang sukar akibat penularan Covid-19 dan juga letih dengan banyak perkara yang berlaku.

“Maka wajarlah kita lupakan seketika segala perkara yang menjadi beban kepada akal dan emosi kita untuk kita tumpukan kepada perkara penting dalam hidup kita, keluarga tersayang dan mereka yang telah memudahkan hidup kita selama ini.

“Bersederhanalah dalam segala urusan kita dan dapatkan nilai terbaik dalam setiap yang kita usahakan.

“Kalau buat lemang, biar kecil tapi lemak dan enak, kalau baju raya yang tahun lepas, asal segak bergaya,” katanya dalam siaran di Facebook miliknya pada Isnin.

Sementara itu, beliau juga turut menasihatkan orang ramai supaya tidak lupa melihat ramalan cuaca memandangkan ada kemungkinan hujan dan ribut dijangka akan turun di beberapa negeri pada waktu petang.

“Oleh kerana raya tahun ini datang tiba-tiba dan memang sepatutnya raya sakan, ucapan pun boleh ada dua tiga.

“Selamat Hari Raya dan maaf zahir batin kepada keluarga, rakan taulan dan semua rakyat Malaysia jauh dan dekat,” ujarnya.