SPCAAM jadi pemudah cara golongan pekerja

J Solomon (tiga dari kiri)dan Syed Shahir (empat dari kiri) bergambar bersama tetamu selepas Majlis Pelancaran SPCAAM pada Ahad.
J Solomon (tiga dari kiri)dan Syed Shahir (empat dari kiri) bergambar bersama tetamu selepas Majlis Pelancaran SPCAAM pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) bersedia membantu golongan pekerja di negara ini melalui perlindungan dan pembelaan.

Presidennya, Bro J Solomon berkata, walaupun pekerja mempunyai beberapa skim perlindungan sosial namun isu berkaitan masalah pekerjaan ini perlu dilihat secara holistik supaya ia dapat diselesaikan.

Menurut beliau, peruntukan keselamatan sosial perlu melindungi pekerja daripada kemiskinan dan ada perlindungan apabila sakit

"Apabila sudah tua dan bersara atau tidak boleh bekerja lagi, kita sepatutnya boleh hidup dengan bermaruah. Kita sepatutnya mempunyai pendapatan untuk menjalani kehidupan yang baik," katanya ketika berucap pada pada Majlis Pelancaran SPCAAM di Brickfields di sini pada Ahad.

Majlis disempurnakan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC),Syed Shahir Syed Mohamud.

Jelasnya, pekerja yang cedera sepatutnya mempunyai hak kepada faedah yang dijanjikan majikan apabila kehilangan pendapatan selain ibu mengandung yang mempunyai perlindungan ketika bersalin dan membesarkan anak-anak.

"Pelindungan sosial ialah semua rakyat Malaysia perlu mempunyai akses kepada kemudahan perubatan, perumahan dan pekerjaan.

"Kewajipan kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk memastikan seluruh rakyat dan kesemua mereka yang tinggal di Malaysia hidup bermaruah dan mendapat perlindungan sosial," katanya.

"Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), adakah dana kita dilaburkan dengan betul dan ditadbir dengan cara yang betul oleh penjaga yang diamanahkan?

Katanya lagi, SPCAAM akan bekerjasama dengan semua pihak yang berkepentingan dalam mengukuhkan peranan, penyertaan dan faedah pekerja di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Solomon menegaskan SPCAAM tidak ditaja oleh mana-mana parti politik.

Selain itu, tambah beliau, SPCAAM berharap ada sukarelawan tampil untuk membantu dan pada peringkat awal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menubuhkan tiga unit khas yang akan memfokus kepada hal komunikasi, ekonomi dan pekerjaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung SPCAAM, A Karuna mendakwa, perlindungan sosial di Malaysia tidak cekap untuk memenuhi keperluan asas rakyat.

Kata beliau, ramai yang tersisih sepenuhnya daripada sistem perlindungan sosial dan mereka tiada sokongan dan sangat terdedah kepada bahaya.

"Kita boleh berbangga bahawa buat pertama kali dalam sejarah negara, ada organisasi yang akan melihat kepentingan rakyat dan menjadi penyumbang perlindungan sosial dalam badan berkanun atau bukan berkanun,” katanya.

Tambahnya, SPCAAM boleh disertai oleh setiap rakyat Malaysia dan warga asing yang tinggal di Malaysia tanpa mengira kedudukan mereka dalam masyarakat kerana setiap orang memerlukan perlindungan.

Borang permohonan untuk menjadi ahli SPCAAM boleh dimuat turun dari laman web www.spcaam.org atau pertanyaan boleh dikemukakan ke alamat e-mel spcaam.hq@gmail.com.