Terbabas cuba lari pemeriksaan polis

Yahaya ketika membuat pemeriksaan ke atas motosikal yang disita menerusi Op Samseng Jalanan diadakan berhampiran Station 18 pada awal pagi Ahad.
Yahaya ketika membuat pemeriksaan ke atas motosikal yang disita menerusi Op Samseng Jalanan diadakan berhampiran Station 18 pada awal pagi Ahad.
A
A
A

IPOH - Seorang penunggang motosikal cedera selepas terbabas dipercayai lari dari sekatan polis dalam satu Operasi Samseng Jalanan di sekitar Station 18 di sini awal pagi Ahad.

Dalam operasi bermula jam 1 pagi itu, lelaki terbabit mengalami kecederaan di dahi sebaik motosikal ditungganginya hilang kawalan dan terjatuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, anggota yang berada di kawasan operasi telah mendapatkan bantuan ambulans untuk datang memberi rawatan dan dibawa ke hospital.

"Lelaki itu belum tampil membuat laporan, namun polis ambil tindakan dan lakukan siasatan atas kejadian itu dengan memanggil pihak-pihak terlibat untuk mendapatkan keterangan.

"Kita percaya penunggang motosikal itu cuba melarikan diri daripada pemeriksaan yang dibuat dan menyebabkannya terbabas," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Video kejadian itu telah tular di laman sosial menyaksikan seorang penunggang motosikal hilang kawalan sebaik melepasi pemeriksaan polis.

Dalam rakaman video berkenaan turut memaparkan sekumpulan penunggang motosikal menolak kenderaan mereka atas jalan raya diiringi polis.

Yahaya berkata, hasil operasi berkenaan, seramai 76 penunggang motosikal dan 16 pembonceng telah ditahan.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang penunggang motosikal terjatuh akibat terbabas ketika lari daripada pemeriksaan polis.
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang penunggang motosikal terjatuh akibat terbabas ketika lari daripada pemeriksaan polis.

Menurutnya, kesemua mereka berusia lingkungan 15 hingga 26 tahun juga diarah menolak kenderaan masing-masing sejauh 7 kilometer ke balai polis bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan, polis telah melakukan tangkapan ke atas tujuh lelaki di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, satu tangkapan di bawah Seksyen 108 akta sama dan menyita 14 motosikal atas pelbagai kesalahan antaranya mengubah suai ekzos dan berkaitan nombor pendaftaran.

"Ujian air kencing dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pula mendapati, dua daripada ditahan positif dadah jenis methamphetamine," katanya

Beliau berkata, dalam operasi sama, sebanyak 241 saman telah dikeluarkan dengan kesalahan tiada lesen memandu seramai 28 orang.

Katanya, daripada siasatan didapati, mereka yang tidak mempunyai lesen ini adalah kalangan pelajar sekolah menengah, kolej dan insititut pengajian tinggi (IPT) yang keluar tanpa pengawasan ibu bapa.

"Ada antara mereka telah diambil tindakan tegas dengan menghubungi pemilik kenderaan berdaftar motosikal tersebut," katanya.

Operasi melibatkan dua pegawai dan 60 anggota pelbagai cawangan polis itu diadakan sempena Op Selamat 18.