Iftar Ala Madinah Karangkraf tarik 15,000 pengunjung

Antara pengunjung yang hadir pada hari terakhir Iftar Ala Madinah di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.
Antara pengunjung yang hadir pada hari terakhir Iftar Ala Madinah di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran Program Iftar Ala Madinah oleh Kumpulan Karangkraf bersempena bulan Ramadan akhirnya melabuhkan tirai pada Jumaat setelah 20 hari diadakan bermula 4 April lalu.

Ketua projek, Firdaus Hussamuddin berkata, dianggarkan seramai 15,000 pengunjung telah memeriahkan program tersebut sepanjang ia dilaksanakan.

Menurut beliau, penganjuran acara itu juga dilihat berjaya mencapai objektifnya untuk menarik kunjungan pelbagai lapisan masyarakat selain membantu golongan memerlukan.

Firdaus bertanggungjawab menyelia program kali ini.
Firdaus bertanggungjawab menyelia program kali ini.

“Pengunjung yang datang itu daripada pelbagai golongan, maknanya ada keluarga, bujang, pelajar dan termasuk kumpulan rakan sekerja.

“Selain itu, ia dilaksanakan untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan. Jadi program ini saya lihat dapat membantu menjimatkan wang belanja untuk makanan berbuka kepada keperluan lain,” katanya ketika ditemui Sinar Ahad di Kompleks Karangkraf, di sini.

Kumpulan Gamelan Putra Warisan membuat persembahan sebelum berbuka pada hari terakhir Iftar Ala Madinah di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.
Kumpulan Gamelan Putra Warisan membuat persembahan sebelum berbuka pada hari terakhir Iftar Ala Madinah di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

Hari terakhir Iftar Ala Madinah @Karangkraf turut diserikan dengan persembahan gamelan daripada kumpulan muzik tradisional, Gamelan Putra Warisan dari Gombak, Selangor.

Pada masa sama, acara tersebut juga dimeriahkan dengan persembahan bunga api yang dikendalikan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pengunjung yang hadir pada hari terakhir Iftar Ala Madinah menyaksikan persembahan bunga api.
Pengunjung yang hadir pada hari terakhir Iftar Ala Madinah menyaksikan persembahan bunga api.

Dalam pada itu, Firdaus turut melahirkan penghargaan kepada semua pengunjung yang sudi hadir untuk memeriahkan acara berbuka tersebut.

“Kita berharap program iftar ini dapat kita adakan lagi pada tahun hadapan. Di samping itu, kita juga mengalu-alukan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan syarikat untuk bersama-sama menjayakan program ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, hadir sama pada hari terakhir Iftar Ala Madinah ialah pensyarah dari Sunway University, Profesor Dr Wong Chin Huat yang menyifatkan ia sebagai satu pengalaman baharu buat dirinya.

Chin Huat (kiri) hadir bersama rakannya pada hari terakhir Iftar Ala Madinah di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.
Chin Huat (kiri) hadir bersama rakannya pada hari terakhir Iftar Ala Madinah di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

Menurut Chin Huat, beliau juga amat tertarik dengan pelaksanaan susun atur berbuka dalam program tersebut yang menurutnya sangat menekankan aspek kesamarataan antara manusia.

“Biasa kalau kita hadir acara berbuka, akan ada meja untuk dif kehormat. Tapi di sini saya nampak semua sama rata. Jadi berdiri sama tinggi duduk sama rendah.

Keseronokan berbuka bersama di Iftar Ala Madinah di Kompleks Karangkraf, Shah Alam turut dirasai oleh golongan kanak-kanak.
Keseronokan berbuka bersama di Iftar Ala Madinah di Kompleks Karangkraf, Shah Alam turut dirasai oleh golongan kanak-kanak.

“Dalam keadaan seperti ini kita boleh mengingatkan diri bahawa kita semua adalah sama.

“Selain itu, program ini juga dilihat dapat memberikan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa merendahkan maruah mereka,” katanya.