Sila log masuk terlebih dahulu.

JDT pahat sejarah gemilang

Pengendali JDT, Benjamin Mora dan pemain-pemain Harimau Selatan meraikan jaringan Leandro. - Foto FB Johor Southern Tigers
Pengendali JDT, Benjamin Mora dan pemain-pemain Harimau Selatan meraikan jaringan Leandro. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 selepas menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Gol sendiri pemain gantian Ulsan Hyundai, Park Yongwoo pada masa kecederaan babak kedua mengesahkan kemaraan JDT dalam kelompok 16 terbaik buat kali pertama dalam sejarah skuad Harimau Selatan itu.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan JDT mara ke pusingan 16 selaku juara Kumpulan I dengan meraih 13 mata hasil empat kemenangan, seri sekali dan tewas sekali setelah mengharungi enam perlawanan.

Tampil dalam misi wajib menang ke atas Ulsan Hyundai, JDT membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Leandro Velazquez hasil sepakan percuma yang cukup menarik.

Bagaimanapun, kegembiraan penyokong Harimau Selatan hanya bertahan seminit apabila pemain tengah Ulsan Hyundai, Jun Amano menjaringkan gol penyamaan.

Terikat 1-1 sama menyaksikan kedua-dua pasukan mula menggandakan asakan ke pintu gol lawan masing-masing dalam usaha menambah jaringan.

Pertahanan JDT, Matthew Davies cuba mengekang asakan penyerang Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi.- Foto FB Johor Southern Tigers
Pertahanan JDT, Matthew Davies cuba mengekang asakan penyerang Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi.- Foto FB Johor Southern Tigers

Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dihasilkan JDT mahupun Ulsan Hyundai sehingga tamat separuh masa pertama.

Artikel Berkaitan:

Bersambung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan dalam usaha memburu jaringan.

Ketika perlawanan seolah-olah berakhir dengan keputusan seri, Yongwoo tertampan bola ke gawang sendiri bagi memberikan gol kedua yang juga gol kemenangan JDT.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan I, kelab handalan Jepun, Kawasaki Frontale menewaskan Guangzhou FC 1-0 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

Gol tunggal Kawasaki Frontale dijaringkan K.Chinen pada minit ke-14, sekali gus menyaksikan juara Liga Jepun (Liga J) itu menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua dengan 11 mata.

Ulsan Hyundai pula mengakhiri saingan di tangga ketiga Kumpulan I dengan merekodkan 10 mata manakala Guangzhou FC gagal meraih sebarang mata.