'Saya rindu keluarga, 12 tahun beraya di pusat jagaan'

Meiry (kiri) dan Habibah merindui ahli keluarga selepas lebih 10 tahun menyambut Aidilfitri di Pusat Jagaan Nur Ehsan, Kempas, Johor Bahru
Meiry (kiri) dan Habibah merindui ahli keluarga selepas lebih 10 tahun menyambut Aidilfitri di Pusat Jagaan Nur Ehsan, Kempas, Johor Bahru
A
A
A
JOHOR BAHRU - Setiap kali menyambut Ramadan dan Aidilfitri, seorang warga emas yang menghuni Pusat Jagaan Nur Ehsan, Kempas di sini sentiasa terkenangkan empat anaknya.

Meiry Chanok, 67, yang menyambut hari lebaran tanpa ahli keluarga di sisi untuk kali ke-13 tahun ini, mengakui rindu kepada anak-anaknya tetapi tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk mereka datang menziarahi.

Meiro memberitahu sudah terputus hubungan dengan anak-anak serta akur kepada takdir hidupnya dan kini tinggal bersama isteri, Habibah Abdul Rahman, 54, di pusat jagaan itu bersama rakan senasib.

"Kalau nak cerita pasal rindu pada keluarga, memang tak boleh diungkap lagi. Bayangkan saya sudah menghuni dan berhari raya di pusat jagaan ini kira-kira 12 tahun lalu.

"Sejak itu anak-anak, menantu dan cucu tidak pernah datang menjenguk walaupun mereka tinggal di sekitar Johor Bahru. Saya pun sudah biasa menyambut hari raya di pusat jagaan ini tanpa anak-anak di sisi," katanya ditemui pemberita di pusat jagaan itu, pada Rabu.

Meiry yang berasal dari Senggarang, Batu Pahat berkata, bagi menghiburkan hati dan mengubat rindu dia dan isteri serta penghuni pusat jagaan berkenaan meluangkan masa melakukan aktiviti bersama.

"Saya juga amat rindukan untuk melihat dan beraya di kampung halaman di Senggarang kerana masih ada saudara mara di sana. Sebelum ini adik bongsu dan sepupu saya ada datang melawat kami.

"Sepupu saya ada bawa saya balik ke kampung sebelum ini tetapi kini dia sudah meninggal dunia," katanya.

Berkongsi kisahnya, Meiry memberitahu, dia bersama bekas isteri pertama dan empat anaknya tinggal di Skudai Kiri sebelum diserang strok pada 2010 dan duduk di rumah selama tiga bulan.

Ceritanya, selepas itu dia dimasukkan ke hospital dan apabila tiada ahli keluarganya yang datang membawanya keluar, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkannya di pusat jagaan tersebut.

Dia kemudian berpisah dengan isteri pertama sebelum bertemu jodoh dengan Habibah di pusat jagaan tersebut kira-kira 11 tahun lalu.

"Anak-anak saya tahu saya berada di sini tetapi tidak pernah datang menjenguk. Saya pun tidak mahu memikirkannya. Hanya bekas isteri ada datang beberapa kali meminta maaf dengan saya," katanya.

Sementara itu, Habibah pula memberitahu, setiap malam dia menangis kerana rindukan kakak dan adiknya kerana sudah lebih 10 tahun tidak bertemu mereka selepas ditempatkan di pusat jagaan tersebut pada 2007.

"Saya harap mereka datang melawat saya. Selain suami, hanya mereka yang saya ada kerana perkahwinan pertama sebelum ini tidak mempunyai cahaya mata," katanya yang berasal dari Ayer Hitam, Batu Pahat.