Pasar sesak, orang ramai buat persediaan sambut Aidilfitri

Orang ramai mula membanjiri Pasar Moden Seksyen 6 di sini bermula jam 7.30 pagi pada Sabtu.
Orang ramai mula membanjiri Pasar Moden Seksyen 6 di sini bermula jam 7.30 pagi pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengunjung sanggup bersesak di Pasar Moden Seksyen 6, di sini untuk mendapatkan barangan mentah sebagai persiapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Tinjauan Sinar Harian di pasar berkenaan pada Sabtu mendapati pengunjung mula ke pasar berkenaan pada jam 7.30 pagi untuk mendapatkan barangan segar seperti ayam, daging dan sayur-sayuran.

Hasil tinjauan turut mendapati peniaga masih patuh dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengunjung, Mohd Zulhilmi Pazil, 35, mendakwa terkejut melihat ramai orang berkunjung ke pasar berkenaan kerana menyangka mereka sudah pulang ke kampung halaman.

Dia yang tinggal di Pelabuhan Klang berkata, akan pulang ke kampungnya Pulau Pinang selepas solat sunat Aidilfitri.

"Suasana menjelang raya sangat dirasai, sudah dua tahun tidak rasa begini.

"Ingatkan pergi pasar tak ramai orang, rupanya masih ramai yang berkunjung ke sini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Izsdihar Mohamad Ilzam, 34, berkata, dia rasa gembira dapat membeli barangan persiapan Aidilfitri dengan lebih bebas selepas beberapa prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.

"Saya rasa gembira dapat beli-belah seperti sediakala kerana tahun lepas perlu beratur di luar sebelum masuk ke dalam pasar.

"Tahun ini SOP dah dilonggarkan jadi ia memudahkan saya untuk membeli barangan di sini," katanya yang datang dari Ampang.

Pengunjung, Ali Zulhakimi Ross Mohd Rosli, 33, pula mendakwa terkejut dengan kesesakan luar biasa ketika membeli barangan di pasar tersebut.

Bagaimanapun, dia turut berasa teruja untuk membeli barangan di pasar berkenaan selepas kelonggaran SOP dilaksanakan.

"Sebelum ini perlu beratur dan ada SOP. Sekarang senang nak masuk.

"Rasa teruja dan takut itu bercampur, dah lama tak lihat ramai orang begini tapi dalam masa sama takut juga kerana virus Covid-19 masih ada," katanya yang akan pulang ke Kampung Gajah, Perak Tengah, Perak.