Arteta yakini pemain muda Arsenal

Barisan pemain muda Arsenal diharap mampu catat kemenangan berdepan West Ham. - Foto Getty Images
Barisan pemain muda Arsenal diharap mampu catat kemenangan berdepan West Ham. - Foto Getty Images
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta yakin dengan kesebelasan muda The Gunners mampu menangani tekanan pada penghujung musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam usaha mengesahkan slot automatik ke saingan Liga Juara-Juara, musim depan.

Menurut Arteta, berada di tangga keempat ketika ini dengan meraih 60 mata daripada 33 perlawanan, skuad The Gunners itu dilihat berada pada landasan tepat untuk berada dalam saingan berprestij itu.

“Kebanyakan pemain pastinya teruja untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara, apatah lagi ia pengalaman pertama mereka beraksi dalam saingan berprestij.

“Tetapi sejak dua atau tiga bulan kebelakangan ini mereka (pemain), sudah mula memperkatakan mengenai saingan Liga Juara-Juara dan rasanya mereka sudah tidak sabar untuk beraksi.

“Mereka juga seolah-oleh dapat merasai kepentingan bagi setiap perlawanan yang bakal diharungi kelak dan semangat sepertii inilah yang saya mahu daripada pemain-pemain,” katanya.

Untuk rekod, Arsenal dijadualkan berdepan West Ham United pada Ahad dalam misi memburu kemenangan dan terus menjarakkan kedudukan berbanding pasukan-pasukan lain.

Sementara itu, Arteta menuntut kesemua pemain untuk beraksi sehabis baik ketika berdepan West Ham dalam usaha mencatatkan kemenangan bagi mengukuhkan lagi kedudukan skuad The Gunners itu.

Katanya, kesemua pemain juga telah diingatkan memberikan fokus kepada perlawanan berkenaan bagi memastikan kejayaan.

“Walaupun kita sudah berada pada kedudukan yang kita inginkan, pemain tetap tidak boleh leka.

“Mereka perlu terus berikan aksi terbaik menentang West Ham dan seterusnya pada baki perlawanan musim ini,” katanya.