Sapura Energy lantik Mohammad Azlan sebagai pengerusi

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sapura Energy Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Mohammad Azlan Abdullah sebagai pengerusi berkuat kuasa 7 Mei, 2022.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Sapura Energy berkata, Azlan menggantikan Tan Sri Shamsul Azhar Abbas yang bersara pada hari yang sama apabila mencapai usia 70 tahun.

Mohammad Azlan, 54, mula dilantik dalam Lembaga Pengarah Sapura Energy sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas pada 1 Oktober 2019.

Beliau telah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) sejak 1 Mac, 2017.

Sebelum itu, beliau merupakan CEO The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd.

Mohammad Azlan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan) dari University of Tasmania, Australia dan Felow CPA Australia, selain akauntan bertauliah dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Shamsul yang dilantik sebagai Pengerusi Sapura pada Julai 2020 telah menerajui Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebagai presiden dan CEO dari 2010 hingga 2015. - Bernama