Ringgit kukuh selepas pasaran jangka Fed naikkan kadar faedah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit meningkat sedikit dan mengakhiri urus niaga lebih positif pada Jumaat ketika penganalisis percaya kenaikan 50 mata asas dalam Kadar Dana Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) sememangnya dijangkakan oleh pasaran.

Pada 6 petang, unit tempatan mengukuh kepada 4.3520/3570 berbanding dolar AS daripada 4.3630/3650 pada akhir dagangan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan Fed akan terus mengekalkan pendiriannya untuk menaikkan kadar faedah.

"Persoalannya ialah secepat mana Fed akan mengembalikan semula kadar utamanya ke arah kadar lebih neutral -- satu kadar yang menguncup atau berkembang terhadap ekonomi,” katanya.

Perkembangan itu disifatkan sebagai penting, terutamanya apabila inflasi AS mencecah paras tertingginya dalam tempoh 40 tahun.

Beliau berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga susut pada 3.6 peratus tahun ke tahun dalam suku pertama 2022 berbanding 5.5 peratus dalam suku sebelumnya.

Ini juga disebabkan oleh penguncupan perbelanjaan kerajaan sebanyak 1.6 peratus manakala perbelanjaan pengguna yang membentuk lebih dua pertiga daripada ekonomi, menyederhana kepada 4.7 peratus daripada 6.9 peratus.

"Berikutan itu, Indeks Dolar AS (DXY) susut kepada 102.349 mata,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bank Negara Malaysia (BNM) semalam memberi jaminan bahawa ekonomi negara kekal kukuh walaupun dalam persekitaran ringgit menyusut.

Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus juga menepis kebimbangan bahawa penyusutan ringgit menjadi petanda bahawa Malaysia akan berdepan kesukaran melunaskan hutang luar sepertimana dialami oleh negara-negara lain.

Malah, beliau menegaskan bahawa Malaysia juga tidak berada dalam kedudukan yang menghampiri keadaan tersebut.

Dalam pada itu, ringgit susut berbanding euro kepada 4.6018/6071 daripada 4.5894/5915 pada akhir urus niaga semalam.

Unit tempatan itu turut rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1543/1584 daripada 3.1488/1507 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4652/4715 daripada 5.4590/4615.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3392/3433 daripada 3.3412/3430, semalam. - Bernama