Melaka terima pelancong dari Dumai melalui feri bermula 5 Mei

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

MELAKA - Melaka bakal menerima kemasukan pelancong dari Dumai, Indonesia melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai di Kota Laksamana di sini, bermula 5 Mei ini.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan negeri Sa'ari Basiron berkata, pelancong berkenaan akan dibawa masuk menggunakan feri kendalian syarikat Feri Indomal yang dijangka tiba di terminal berkenaan kira-kira 1 tengah hari.

"Feri dari Dumai akan berlepas kira-kira 10 pagi waktu Malaysia dan perjalanan dianggarkan antara dua hingga tiga jam untuk sampai ke ICQS Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai," katanya yang dihubungi Bernama pada Jumaat.

Beliau berkata, operasi feri bagi Dumai-Melaka adalah pada Selasa, Khamis dan Sabtu manakala Melaka-Dumai pada Rabu, Jumaat dan Ahad.

Katanya, feri tersebut tidak akan beroperasi pada Isnin.

Kompleks ICQ Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai merupakan satu daripada akses masuk dan keluar rakyat dari Indonesia menerusi Dumai namun laluan tersebut ditutup ekoran penutupan sempadan antara Malaysia dan Indonesia berikutan penularan Covid-19 kira-kira dua tahun lepas. - Bernama