Dijemput Ilahi ketika jaga ibu sakit

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUCHONG - Seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia di rumahnya di Puchong pada Khamis mendapat perhatian ramai apabila 'dijemput' dalam bulan mulia ketika menjaga ibunya yang uzur.

Melalui perkongsian Facebook Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih (PSSK) pada Jumaat, arwah disifatkan sebagai seorang anak yang baik kerana bakti dicurahkan kepada ibunya.

Menurutnya, kejadian tersebut disedari oleh anak dan menantu arwah yang pulang ke rumah untuk berbuka puasa.

"Ketika mereka masuk ke bilik nenek, ingatkan ayah mereka sedang tidur namun apabila cuba dikejut rupanya si ayah telah meninggal dunia.

"Anak menantu telah hubungi talian kecemasan untuk pengesahan kematian dan keputusannya diserang darah tinggi," kongsi kenyataan itu pada Jumaat.

Kata kenyataan itu, keluarga arwah kemudian menghubungi PSSK untuk menguruskan jenazah.

Jenazah warga emas tersebut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya pada jam 9 pagi.

PSSK merupakan pertubuhan yang menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma di Semenanjung Malaysia.

Pertubuhan tersebut beroperasi sejak dua tahun lalu dan bertapak di Taman Medan, Petaling Jaya.