145 pengunjung pusat hiburan langgar SOP dikompaun

Kamarul Zaman (tengah) ketika mengetuai serbuan di sebuah pusat pusat hiburan di Jalan Ibrahim Sultan, 2 pagi tadi. Seramai 145 pengunjung dikompaun dalam serbuan itu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4. Foto Bernama
Kamarul Zaman (tengah) ketika mengetuai serbuan di sebuah pusat pusat hiburan di Jalan Ibrahim Sultan, 2 pagi tadi. Seramai 145 pengunjung dikompaun dalam serbuan itu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 145 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Ibrahim Sultan di sini dikenakan kompaun berjumlah RM145,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dalam serbuan jam 2 pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang mengetuai serbuan itu berkata, kesemua mereka yang berumur 17 hingga 50 tahun itu masing-masing dikompaun sebanyak RM1,000.

"Daripada jumlah itu, enam pengunjung berusia antara 40 hingga 43 tahun iaitu empat lelaki dan dua wanita ditahan kerana empat daripadanya positif dadah, manakala dua yang lain melibatkan seorang penjaga premis dan seorang yang merupakan individu dalam senarai dikehendaki polis.

"Antara individu yang dikenakan tindakan kompaun termasuk enam warga Singapura, tiga warga Vietnam dan seorang warga China," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan bernilai RM20,000 termasuk komputer riba, pembesar suara, mixer, mikrofon dan wang tunai RM400.

"Orang ramai diingatkan bahawa pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi walaupun negara telah memasuki fasa peralihan ke arah endemik Covid-19 sejak 1 April lepas dan ramai yang membuat aduan kepada polis tentang aktiviti pusat hiburan khususnya di Johor Bahru, nasihat saya tunggulah sehingga permohonan lesen dibenarkan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan Negeri Johor dan Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021, manakala empat individu yang didapati positif dadah jenis ketamin, benzo dan methaphetamine disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama