Modul e-Denda akan diperhalusi di negeri-negeri semenanjung

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Modul Pembayaran Denda Dalam Talian (e-Denda) yang telah diperkenalkan di beberapa mahkamah di Lembah Klang sejak Disember tahun lalu akan diperluas secara menyeluruh di mahkamah-mahkamah rendah di Semenanjung Malaysia.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan pada Jumaat berkata, e-Denda bagi mahkamah-mahkamah rendah di Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula pada 12 Mei; Selangor, Perak, Putrajaya dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur pada 13 Mei manakala Negeri Sembilan, Melaka serta Johor pada 25 Mei.

"Bagi mahkamah-mahkamah rendah di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pula akan bermula pada 26 Mei. Sehubungan itu, proses penyelesaian pembayaran denda boleh dilaksanakan dalam talian menggunakan Pertukaran Proses Kewangan (FPX) melalui portal Sistem e-Kehakiman di https://ecourt.kehakiman.gov.my.

"Melalui pelaksanaan modul ini, tiada lagi keperluan bagi orang awam untuk pergi ke kaunter pembayaran mahkamah, sekali gus dapat mempercepat proses pembayaran denda dan pembebasan tertuduh,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan agensi kerajaan, peguam atau orang awam yang berhasrat untuk memahami tatacara penggunaan modul e-Denda dengan lebih lanjut, boleh melayari Portal Rasmi Badan Kehakiman Malaysia di www.kehakiman.gov.my atau menghubungi e-mel ecourts.helpdesk@omesti.com dan talian 03-27331313.

Sebelum ini, Badan Kehakiman Malaysia telah melancarkan modul e-Denda secara rintis bermula di mahkamah-mahkamah rendah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kompleks Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Selayang, Selangor pada 1 Disember lepas. - Bernama