MIC adakan pertemuan peribadi dengan Ahmad Zahid

Vigneswaran
Vigneswaran
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Pemimpin utama MIC mengadakan pertemuan secara peribadi dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan agihan kerusi parti itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, perjumpaan itu mengenai hasrat parti agar diberikan peluang bertanding di kerusi yang boleh menang sepertimana pernah disuarakan sebelum ini.

Menurutnya, berdasarkan keperluan politik semasa, MIC terbuka untuk bertanding di kawasan tradisi mahupun baharu, namun berharap ditawarkan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai peluang tinggi untuk menang.

"Saya secara peribadi berjumpa dengan kepimpinan BN (Ahmad Zahid) untuk memberitahu beliau bahawa MIC kena juga diberi kerusi yang boleh dapat kemenangan.

"Di Perak, kita telah memohon sekurang-kurangnya dua kerusi DUN yang mempunyai peluang tinggi untuk menang.

"Pengerusi BN memahami hasrat yang kami bawa ini kerana merasakan kehadiran pemimpin India juga adalah mustahak. Selepas raya (Aidilfitri) nanti, kami akan duduk sama-sama untuk bincang dan membuat keputusan seawal mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program bantuan rakyat sempena Aidilfitri bagi Parlimen Sungai Siput di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini pada Jumaat.

Vigneswaran berkata, gesaan untuk BN memperuntukkan kerusi secepat mungkin perlu dilakukan agar tidak menjadi pertikaian dan perdebatan kalangan ahli parti akar umbi.

Malah katanya, maklumat pengagihan kerusi lebih awal dapat membantu komponen parti memulakan persediaan menghadapi pilihan raya.

"Kita nak menang kerusi itu bukan untuk MIC sahaja, kita kena menang kerusi untuk pastikan BN menerajui kerajaan Persekutuan dan menunjukkan kepada rakyat bahawa BN itu parti yang adil dan merangkumi semua kaum.

"Setakat ini, semua kawasan yang boleh MIC tandingi kita dah kenal pasti, keputusan muktamad selepas kita adakan perbincangan dengan BN Pusat nanti," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, MIC telah memperuntukkan RM50,000 kepada kawasan Parlimen dan RM20,000 untuk DUN agar dapat menggerakkan bantuan Aidilfitri ini di kawasan-kawasan yang telah dan bakal ditandingi MIC.

Bantuan khas itu jelasnya, untuk diagihkan kepada kumpulan sasar kalangan B40 bagi membantu meringankan beban membuat persiapan hari raya.

"Di Parlimen Sungai Siput sahaja, sebanyak 2,800 bakul makanan berupa barangan keperluan dan duit raya disediakan untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan," katanya.