Guna 1,500 pelita hasilkan panjut Masjid Ubudiah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sebanyak 1,500 pelita digunakan bagi menghasilkan reka bentuk panjut Masjid Ubudiah di Simpang Penaga di sini yang menceriakan Bandar Diraja menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah, adalah sebuah masjid di Bukit Chandan di sini yang dianggap satu daripada masjid terindah di Malaysia dan simbol kebanggaan masyarakat Muslim di Perak.

Panjut dengan ketinggian lebih sembilan meter (m) dan lebar 14.6m itu dihasilkan oleh 40 kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar serta Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dalam tempoh hanya seminggu.

Menurut kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar, Mohd Termizi Mohd Yassin, penghasilan reka bentuk panjut itu memperoleh kerjasama padu antara kedua-dua pihak bagi menjayakan Pertandingan Panjut 2022 antara kampung bagi peringkat Parlimen Kuala Kangsar.

"Kedua-dua jabatan memberi kerjasama cukup baik semasa menyiapkan panjut ini walaupun agak mencabar ketika sedang berpuasa pada waktu siang termasuk ketika proses menyalakan ribuan semua pelita pada malam ini.

"Kami amat teruja kerana reka bentuk yang dihasilkan amat indah walaupun terpaksa menjimatkan penggunaan minyak selain sudah lama Bandar Diraja ini tidak dimeriahkan dengan aktiviti panjut sebegini," katanya ketika ditemui pemberita pada pelancaran pertandingan itu di sini malam Khamis.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, Pertandingan Panjut 2.0 itu bertujuan mengimbau nostalgia serta menghidupkan semula tradisi masyarakat Melayu di daerah Kuala Kangsar yang dahulunya menghiasi kawasan kampung dengan nyalaan lampu pelita.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu berkata, beliau mengambil keputusan mengadakan pertandingan berkenaan bermula tahun lepas secara besar-besaran membabitkan seluruh penduduk kampung berikutan tradisi berkenaan dilihat semakin pupus dan mungkin dilupakan.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah tahun kedua Pertandingan Panjut diadakan oleh Pejabat Parlimen Kuala Kangsar dengan Kerjasama Majlis Belia Daerah Kuala Kangsar dan Persatuan Muafakat Anak Jati Kuala Kangsar (GEMUDA) yang menyaksikan sebanyak 14 buah kampung bertanding pada tahun ini.

"Penduduk kampung akan mempamerkan bakat, warna dan kasih sayang mereka melibatkan semua peringkat umur.

-"Selain itu, dengan adanya pertandingan seperti ini diharap dapat mengeratkan lagi silaturahim

antara penduduk kampung dan pada masa sama akan mempamerkan keunikan yang ada di Kuala Kangsar. Tradisi seperti ini perlu terus dilaksanakan sampai bila-bila," katanya.

Hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM15,000 turut disediakan kepada pemenang yang mana

Johan akan menerima sebanyak RM5,000, naib johan (RM3,000), tempat ketiga (RM2,000), tempat

keempat (RM1,000) dan tempat kelima hingga 12 (RM500).

Setiap penyertaan turut diberikan sijil penghargaan dan syarat penyertaan adalah terbuka kepada seluruh kampung dalam Parlimen Kuala Kangsar serta lokasi tapak panjut mestilah di kawasan lapang dan di laluan utama dengan mengambil kira faktor keselamatan dan penjarakan.

Keputusan pertandingan akan dipaparkan melalui laman Facebook rasmi Pejabat Parlimen Kuala Kangsar pada 7 Mei ini. BERNAMA