Laporan akhir siasatan RCI TH siap Julai ini

Lembaga Tabung Haji
Lembaga Tabung Haji
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan akhir hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka selesai Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RCI TH telah mengadakan mesyuarat sebanyak tiga kali sejak penubuhan suruhanjaya itu pada 21 Januari lalu.

“RCI ini ditubuhkan dengan tujuan bagi melaksanakan siasatan dan menyediakan laporan untuk dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh enam bulan selepas penubuhannya.

“Sehingga 26 April 2022, RCI ini telah mengenal pasti dan memanggil pelbagai agensi yang boleh membantu siasatan bagi mendapat gambaran dan situasi berkaitan kedudukan organisasi, pengurusan dan operasi Lembaga TH bermula 2014 hingga 2020.

“Selain itu, seramai 43 orang saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kerajaan bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH.

Penubuhan RCI itu hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.