Rumah sindiket jual bayi sering berpindah

Wartawan Sinar Siasat ke lokasi kejadian iaitu beberapa deretan rumah kedai terletak di Selangor selepas mendapat maklumat daripada seorang wanita yang mendakwa mangsa sindiket jual beli bayi.
A
A

PEMILIK rumah jagaan wanita mengandung yang disyaki dalang sindiket penjualan bayi cukup licik apabila bijak menyembunyikan kegiatan haram mereka itu dengan berpindah-randah dari satu rumah ke satu rumah lain.

Berdasarkan maklumat diberikan seorang mangsa, wartawan Sinar Siasat membuat tinjauan di lokasi kejadian iaitu beberapa deretan rumah kedai terletak di Rawang, Selangor.

Premis berkenaan dipercayai menjadi rumah transit menempatkan wanita mengandung untuk melahirkan anak sebelum bayi mereka dijual kepada keluarga angkat.

ARTIKEL BERKAITAN: Sinar Harian bongkar sindiket jual bayi

Tinjauan wartawan Sinar Siasat selama tiga jam di sana tidak menemui sebarang papan tanda dan rumah yang berada di tingkat satu itu tidak kelihatan mencurigakan.

Rumah tersebut juga berkunci dari luar selain tangga untuk naik ke tingkat atas itu juga gelap.

Kami menunggu beberapa jam untuk melihat sekiranya ada wanita mengandung keluar dari rumah itu, namun tidak kelihatan.

Bagaimanapun, dalam pertemuan wartawan Sinar Siasat dengan seorang penduduk di situ, dia mengakui pernah terserempak dengan wanita mengandung yang turun dari tingkat satu rumah kedai tersebut.

"Tapi tak nampak ada yang mencurigakan dan saya pula tidak tanya apa-apa sebab di kawasan ini banyak rumah kedai didiami oleh pasangan berkeluarga. "Tak sangka pula ada sindiket di sini," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia