Emery mahu pastikan Liverpool ‘sengsara’ di Madrigal

Emery. - foto EPA
Emery. - foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Villareal, Unai Emery mahu memastikan Liverpool ‘sengsara’ pada aksi kedua separuh akhir Liga Juara-Juara di El Madrigal, 4 Mei depan.

Katanya, beberapa perubahan taktikal bakal dilakukan ke atas skuad kendaliannya itu dalam usaha memastikan The Reds ‘terperangkap’ dan gagal lolos ke final kelak.

“Aksi separuh akhir kedua minggu depan akan menjadi berbeza berbanding malam ini (Rabu) kerana kami akan lakukan beberapa perubahan, mungkin daripada segi taktikal.

“Perubahan ini begitu penting untuk kami dan rasanya mereka (Liverpool) akan ‘lebih sengsara’ beraksi dengan kami nanti.

“Apa pun, kami sememangnya akan melakukan sesuatu bagi menjamin kejayaan di laman sendiri dengan disaksikan ribuan penyokong,” katanya yang pernah mengemudi Sevilla ke final Liga Europa pada 2016.

Untuk rekod, Villareal tewas 0-2 pada aksi separuh akhir pertama di Anfield Rabu lalu.

Mengulas kekalahan berkenaan, Emery berkata, dia tidak mahu mengulas dengan panjang lebar mengenainya kerana Liverpool memang berhak memenangi perlawanan berkenaan.

Justeru katanya, skuad The Yellow Submarine itu kini mahu memberikan fokus bagi mengharungi aksi separuh akhir kedua dan mencatatkan kejayaan.

“Kami tidak mahu membuang masa memikirkan perkara lain dan mahu memberikan perhatian kepada aksi separuh akhir kedua nanti.

“Kami juga yakin dengan perubahan yang sedang dilakukan, kami dapat memberikan kejutan dan seterusnya ‘memerangkap’ mereka,” katanya.