PBRS miliki lebih 10,000 ahli di Parlimen Tuaran

Joseph (empat dari kiri) menerima borang kemasukan ahli baharu ke dalam PBRS di Dewan Tun Hamdan Tamparuli, Tuaran.
Joseph (empat dari kiri) menerima borang kemasukan ahli baharu ke dalam PBRS di Dewan Tun Hamdan Tamparuli, Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kini mempunyai lebih 10,000 ahli bagi kawasan Parlimen Tuaran sekali gus dilihat mampu merampas semula kerusi untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Joseph Kurup berkata, jumlah keseluruhan keahlian itu selepas kemasukan seramai 5,842 ahli baharu ke PBRS bagi kawasan Parlimen Tuaran.

"Ini ditambah pula dengan seramai 4,500 ahli PBRS sedia ada, PBRS kini berada dalam keadaan siap sedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran untuk BN.

"Dengan kekuatan keahlian PBRS melebihi 10,300, PBRS yakin dapat merampas semula kerusi Parlimen Tuaran yang telah menjadi kubu kuat BN sejak PRU11 pada 2004 lagi," katanya ketika hadir pada majlis kemasukan 5,842 ahli baharu menyertai PBRS di Dewan Tun Hamdan Tamparuli pada Selasa.

Dalam majlis itu, seramai 210 ahli adalah dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan; 130 ahli dari DUN Kadamaian; 1,512 ahli dari DUN Pantai Dalit; 1,224 DUN Sulaman; 2,234 ahli dari DUN Tamparuli; 872 dari DUN Kiulu dan 1,050 ahli dari DUN Inanam.

Untuk rekod, Parlimen Tuaran kini disandang oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menang atas tiket Barisan Nasional pada PRU14.

Bagaimanapun, Madius kemudian keluar daripada rakan komponen BN apabila UMNO tumbang dan beralih sokongan kepada Parti Warisan-Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Joseph berkata, kemasukan beramai-ramai ahli ke PBRS dari seluruh pelosok negeri sejak kebelakangan ini menunjukkan bahawa keyakinan rakyat terhadap kemampuan BN untuk mengurus tadbir negara telah kembali.

"Rakyat mahukan kewujudan kestabilan politik serta ekonomi seperti mana yang dinikmati oleh negara ketika era pemerintahan BN dulu," katanya.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Pensiangan itu mengajak semua lapisan rakyat di Sabah untuk bersatu hati menyokong semua calon BN dalam pilihan raya akan datang demi kemajuan, kemakmuran dan pembangunan Sabah.