Lebih 3,000 pegawai, anggota polis bertugas sempena raya

Ruslan (kiri) melepaskan konvoi pasukan pemantau polis pada Majlis Pelancaran Op Selamat 18/2022 Sempena Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Rabu.
Ruslan (kiri) melepaskan konvoi pasukan pemantau polis pada Majlis Pelancaran Op Selamat 18/2022 Sempena Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 3,600 pegawai dan anggota polis di Negeri Sembilan ditugaskan pada Hari Raya Aidilfitri bagi memantau keselamatan harta benda dan premis selain membantu mengawal kesesakan di beberapa kawasan tumpuan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, penugasan selama 10 hari bermula Sabtu ini.

Beliau menjangkakan sambutan hari raya tahun ini lebih meriah kerana sudah dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19 selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Justeru dijangkakan jumlah kenderaan yang berada di atas jalan raya akan meningkat serta kesesakan lalu lintas. Jadi saya mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 18/2022 Sempena Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Rabu.

Ruslan turut berharap kadar kemalangan jalan raya melibatkan kematian berkurangan tahun ini.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa memantau anak-anak sepanjang berada di kampung terutama yang tidak mempunyai lesen memandu dan mencuba menunggang motosikal saudara-mara.

"Hari raya banyak kereta lebih-lebih lagi di kampung... anak-anak yang tidak mempunyai lesen memandu tidak perlu menunggang motosikal. Jika nampak nak bawa-bawa adik-adik mereka tu tolonglah ingatkan," katanya.