Letupan stor barang kes: Forensik bomba masih siasat

Beh Eng Lai
Beh Eng Lai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Forensik Bomba Kuala Lumpur masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca letupan di stor barang kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan tersebut dilaksanakan kerana terdapat kerja-kerja pelupusan barang kes melibatkan rampasan mercun pelbagai jenis sebelum kejadian berlaku.

"Polis menerima panggilan daripada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian itu pada jam 6.42 petang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Eng Lai berkata, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 7.04 petang.

"Seramai tiga pekerja am yang membantu pembersihan proses pelupusan cedera ringan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur manakala lima pegawai polis yang bertugas di stor tersebut serta dua pekerja am lain tidak ceder," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebanyak 18 buah kereta dan dua buah lori terbakar.

"Kesemua barang kes tersebut berdaftar dan anggaran jumlah kerugian masih belum dapat ditafsirkan," ujarnya.

Eng Lai meminta kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.