PDRM perluas In-Car Radar, iCOPS sepanjang lebuh raya

Razarudin bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Hari Raya Aidilfitri ketika di Menara Telekom Malaysia (TM), pada Selasa. Turut sama, Pengerusi Telekom Malaysia (TM), Tan Sri Mohammed Azlan Hashim (kiri). - Foto Bernama
Razarudin bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Hari Raya Aidilfitri ketika di Menara Telekom Malaysia (TM), pada Selasa. Turut sama, Pengerusi Telekom Malaysia (TM), Tan Sri Mohammed Azlan Hashim (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperluas penggunaan alat pengesan had laju In-Car Radar dan alat iCOPS di sepanjang lebuh raya bagi mengesan pesalah trafik yang memiliki saman tertunggak serta waran tangkap.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, alat tersebut digunakan bagi menyemak nombor pendaftaran kenderaan sama ada palsu atau melakukan kesalahan trafik.

Beliau berkata, ia akan diletakkan secara statik dan bergerak serta tidak tertumpu pada satu-satu tempat sahaja.

"Pesalah trafik mudah dikesan ketika orang ramai pulang ke kampung secara beramai-ramai kerana mereka yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap kesalahan trafik susah untuk dikesan pada hari biasa.

"Mereka yang memiliki waran tangkap dan saman tunggakan trafik akan ditahan serta-merta di atas jalan dan akan dibawa ke balai berhampiran untuk proses dokumentasi jaminan dan kemudian akan diminta hadirkan diri ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Hari Raya Aidilfitri di Menara TM di sini pada Selasa.

Sementara itu, Razarudin berkata, Op Selamat ke-18 sempena Aidilfitri akan bermula pada 29 April hingga 8 Mei depan dengan memberi fokus meminimumkan jumlah kes kemalangan jalan raya dan kemalangan maut.

"Dijangkakan sebanyak dua hingga empat juta kenderaan akan berada di atas jalan raya pada satu-satu masa ketika balik kampung di seluruh negara.

"Selain itu, PDRM juga bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain untuk terus memantau situasi supaya selamat untuk pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan," katanya.

Razarudin berkata, PDRM juga akan menjalankan pemantauan ke atas kenderaan perdagangan agar mematuhi waktu larangan berada di lebuh raya dan jalan raya bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

Jelasnya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik juga akan menggunakan pendekatan berteraskan Total Enforcement and Services dengan menjalankan penguatkuasaan operasi secara bersasar bagi menurunkan kadar kemalangan biasa dan kemalangan maut.

"Tindakan saman serta-merta akan dikenakan kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan seperti memandu melebihi had laju, pandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya.

Beliau berkata, bagi kesalahan keenam pula iaitu menggunakan alat telekomunikasi semasa memandu, ia tidak boleh dikenakan kompaun namun pesalah perlu hadir ke mahkamah untuk perbicaraan. - Bernama