Kecoh gara-gara duit mesin ATM habis

Ramai mengeluh gara-gara tidak dapat membuat pengeluaran wang di mesin ATM yang didakwa sudah kehabisan duit.
Ramai mengeluh gara-gara tidak dapat membuat pengeluaran wang di mesin ATM yang didakwa sudah kehabisan duit.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ramai mengeluh susulan tidak dapat membuat pengeluaran wang di mesin juruwang automatik (ATM) yang didakwa sudah kehabisan duit.

Rata-rata yang gagal berbuat demikian meluahkan kekecewaan mereka di media sosial.

Antaranya, seorang pengguna Facebook, Rose James yang sudah beratur sejak dari pagi mengakui kecewa kerana tidak dapat mengeluarkan duitnya di mesin ATM.

“Sekali sampai giliran saya, semua mesin ATM habis duit. Pagi masuk barisan, ada apakah hari ini? Kenapa ramai orang di ATM?” luahnya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook yang dikenali sebagai Asainah Ash D’Nor menerusi hantaran di Facebook memaklumkan sebanyak lima mesin ATM CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) yang dikunjunginya telah kehabisan wang.

"Lima mesin ATM CIMB duit habis, harap maklum," katanya.

Selain itu, pemilik akaun dengan nama Zam Eusoff turut berkongsi kekecewaan yang sama tentang kehabisan wang di mesin ATM di Facebooknya.

“Ada masuk duit bantuan apa-apa ke hari ini? ATM semua habis duit. Kerajaan gaji esok. Pelik juga,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan di Selayang dan Rawang mendapati tiada sebarang masalah pengeluaran wang menerusi mesin ATM dikesan.

Bagaimanapun, seorang pengguna memaklumkan, dia berdepan masalah mengeluarkan wang di mesin ATM stesen minyak di Wangsa Maju dan Shah Alam pada Selasa.

"Mesin ATM di stesen minyak Wangsa Maju ditampal notis duit habis. Sementara pekerja stesen minyak di Shah Alam beritahu wang dimesin ATM di situ habis dalam tempoh dua hari setiap kali ditambah sejak beberapa hari kebelakangan ini," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja bank memberitahu, kebanyakan mesin ATM menghadapi masalah kehabisan wang disebabkan pengeluaran yang tinggi disebabkan orang menerima gaji pada Selasa.