Pemandu, kelindan maut treler terbalik

Keadaan treler yang terbabas dan terbalik di jalan lama Lipis-Merapoh, pada Selasa.
Keadaan treler yang terbabas dan terbalik di jalan lama Lipis-Merapoh, pada Selasa.
A
A
A

LIPIS - Seorang pemandu treler dan kelindan maut selepas kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas lalu terbalik dalam kejadian di Kilometer 55, jalan lama Lipis -Merapoh di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 7.05 pagi itu pemandu treler, Mohamad Syawal Ahmad Basari, 34, dan kelindannya Mohd Faizal Mohd Noor, 35, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menghala ke Merapoh.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, treler tersebut dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan turun bukit yang agak berselekoh sebelum terbabas dan terbalik di bahu jalan," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Azli berkata, akibat kejadian itu kedua-kedua mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.