Rudiger makin hampiri Santiago Bernabeu

RUDIGER
RUDIGER
A
A
A

ANTONIO Rudiger hampir pasti menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid pada penghujung musim ini selepas kontraknya bersama Chelsea berakhir.

Difahamkan, pemain pertahanan kelahiran Jerman berusia 29 tahun itu bersetuju untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu dengan kontrak selama empat tahun.

Rudiger turut menerima beberapa tawaran lumayan lain daripada kelab lain di Eropah, namun dia memilih untuk menyertai Real yang menjadi pilihan utamanya.

Manchester United, Barcelona, Paris Saint-Germain (PSG) dan Juventus antara kelab yang berminat mendapatkan khidmat Rudiger sejak dia menyarung jersi Stuttgart.

Pihak pengurusan Chelsea cuba menawarkan kontrak baharu kepada Rudiger, namun dia menolak sehingga menyebabkan The Blues kini terpaksa mencari pengganti.

Sebelum itu, pengendali Chelsea, Thomas Tuchel mengesahkan Rudiger akan meninggalkan Stamford Bridge selepas mereka mengadakan pertemuan baru-baru ini.

“Dia (Rudiger) merupakan pemain utama sejak beberapa musim lalu. Kami pasti amat merinduinya apabila dia meninggalkan pasukan,” katanya.

Perpindahan Rudiger bakal mempengaruhi keputusan kapten Chelsea, Cesar Azpilicueta yang menjadi sasaran sebuah lagi kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.