Mekanik ditahan, polis rampas mercun RM8,000

Suspek bersama mercun dibawa ke IPD Pekan untuk siasatan lanjut.
Suspek bersama mercun dibawa ke IPD Pekan untuk siasatan lanjut.
A
A
A

PEKAN - Seorang mekanik ditahan bersama pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM8,000 melalui satu pemeriksaan polis di sekitar kawasan Kampung Permatang Arang sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, ketika kejadian suspek berusia 30 tahun yang memandu pacuan empat roda dilihat cuba berpatah balik bagi mengelak pemeriksaan polis.

Bagaimanapun, polis mengejar kenderaan suspek dan berjaya menahannya di tepi jalan Kampung Beruas kira-kira jam 11 malam.

"Hasil pemeriksaan ke atas Ford Ranjer itu, polis menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api di bahagian tempat duduk belakang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaidi memberitahu, turut dirampas kenderaan digunakan dan wang tunai RM400.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.