Sultan Perak perkenan solat sunat Aidilfitri di tempat terbuka

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah memberi perkenan kepada umat Islam di negeri ini untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di tempat terbuka pada 1 Syawal nanti.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, solat sunat Aidilfitri itu boleh dilakukan di tempat-tempat lapang dalam kawasan-kawasan perumahan.

Menurutnya, pihak yang ingin menganjurkan solat sunat Aidilfitri di tempat terbuka perlu memaklumkan kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah dan Balai Polis atau Pondok Polis terdekat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Aidilfitri.

"Baginda juga menzahirkan titah perkenan membenarkan solat sunat Aidilfitri dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di masjid dan surau.

"Aktiviti takbir Aidilfitri dari rumah ke rumah dan ziarah kubur turut dibolehkan untuk diadakan," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Mohd Annuar berkata, bermula solat Maghrib pada 28 April 2022, hidangan jamuan secara terbuka atau bufet dibenar untuk diadakan di masjid dan surau, begitu juga pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Jelasnya, semua aktiviti Aidilfitri hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) seperti pemakaian pelitup muka dan mendaftar kehadiran menerusi aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, perkenan baginda tersebut berlandaskan sembah nasihat MKN, JKN dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Dalam pada itu, Mohd Annuar berkata, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Perak di samping mendoakan kesejahteraan mereka.